SHAH ALAM, 11 Oktober 2023 - Lebih seratus orang termasuk staf Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) telah memenuhi perkarangan Anjung Seri Budiman, UiTM Shah Alam bagi menzahirkan penghargaan buat Naib Canselor UiTM YBhg. Prof. Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor sempena Majlis Sanjungan Budi Kilauan Bakti Naib Canselor UiTM.
Perkarangan Anjung Seri Budiman adalah hentian pertama daripada empat hentian iaitu di Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), Kolej Pengajian Kejuruteraan (KPK) dan Kolej Pengajian Alam Bina (KPAB) sebelum YBhg. Naib Canselor tiba di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) lokasi berlangsungnya Majlis Sanjungan Budi pada jam 3:00 petang.
Ketibaan YBhg. Prof. Datuk Dr. Hajah Roziah telah diiringi oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose dan kesemua barisan Pengurusan Eksekutif dan Pengurusan Kanan universiti.
Dengan menyorot kembali tokoh-tokoh Naib Canselor UiTM bermula dari era Dewan Latehan RIDA hingga ke era UiTM, YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan telah menzahirkan penghargaan buat YBhg. Prof. Datuk Dr. Hajah Roziah kerana berjaya menyempurnakan amanah sebagai Naib Canselor sehingga meletakkan UiTM dikedudukan terbaik pada masa ini. Digambarkan mempunyai hubungan akrab yang terjalin sejak sekian lama, YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan menyifatkan YBhg. Prof. Datuk Dr. Hajah Roziah sebagai seorang pemimpin yang berkarisma, mengutamakan kualiti dan inovasi serta berjiwa pendidik.
Sebagai insan yang dirai oleh hampir seribu orang staf dan pelajar UiTM yang hadir di DATC pada petang itu, YBhg. Prof. Datuk Dr. Hajah Roziah tetap tenang berbicara mengenai perjalanan beliau sebagai Naib Canselor UiTM dan mendoakan agar UiTM akan terus maju memenuhi matlamat penubuhannya iaitu memberi pendidikan buat golongan Melayu Bumiputera.
Ketua Timbalan Pustakawan dan Menjalankan Tugas Ketua Pustakawan Tuan Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan telah hadir menyerahkan kad Ahli Luar Perpustakaan UiTM dan buah tangan berupa buku dan manisan buat YBhg. Prof. Datuk Dr. Hajah Roziah.
Majlis berakhir pada jam 5:30 petang.
0 comments:
Post a Comment