• Perpustakaan Tun Abdul Razak

  • Universiti Teknologi MARA

Wednesday 29 November 2023

Kunjungan Akademi Jawi Malaysia

SHAH ALAM, 22 Disember 2023 - Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) telah menerima kunjungan Akademi Jawi Malaysia (AJM) seperti butiran berikut: 

Tarikh: 29 November 2023 (Rabu)
Masa: 3:00 petang 
Wakil AJM: 

    1. Muhammad Syukri Rosli
    2. Norziati Rosman
    3. Muhammad Amir Ashraf
    4. Fahroni Hamdan
    5. Badrotul Muniroh Md Tarmize

Pertemuan ini telah menghasilkan keputusan berikut: 

    1. Pembangunan koleksi Jawi. 
    2. Latihan/ kursus literasi Jawi kepada staf dan pelajar UiTM. 
    3. Paparan digital content Jawi koleksi AJM.
Kunjungan AJM merupakan kungjungan balas susulan lawatan oleh PTAR ke AJM pada 20 November 2023.










Share:

Friday 24 November 2023

Tamat Latihan Industri

 

SHAH ALAM, 24 November 2023: Dua orang pelajar Latihan Industri (LI), Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) telah tamat latihan industri pada 24 November 2023. Butiran pelajar adalah seperti berikut:  

  1. Nur Wafa Wardina Binti Abdul Khalid Khan
  2. Nur Farzana Binti Zaidi⁠

Bidang       : Diploma Pengurusan Perpustakaan
Institusi     : UNISEL
Tempoh     : 14 Ogos 2023 - 24 November 2023



Share:

Cerpen Langit Jingga di Kaki Bukit

Penulis: Nurul Najwa binti Mazlan
Program:  CAFF233 Sarjana Muda Penulisan (Kepujian) Penulisan Kreatif, Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA

Matahari terbenam di ufuk memancarkan cahaya hangat ke serata alam. Mawar berteleku sendirian di sebuah pondok usang, merasai deruan lembut angin dan kicauan kumpulan burung yang terbang tinggi di langit muram. Dia amat gemarkan pemandangan dan corakan warna senja di langit, seolah-olah emosi dan segala jeritan terpendam di kalbu kian menghilang. Kata orang-orang tua, bila senja menaikkan tirai, makhluk alam dibalik mata bersorak riang. Tetapi bagi Mawar pula, tiada apa yang perlu ditakutkan. Disini lah tanah kelahirannya. Di sini juga dia belajar untuk berjalan, berlari dan juga berkata-kata.

Umur Mawar sudah menginjak lapan belas tahun, namun tidak pernah kakinya menjejak jauh dari perkampungan orang asli ini. Bila memandang langit yang terbentang luas, dia begitu panasaran. Seluas manakah dunia di luar sana? Adakah seperti di dalam potret muka hadapan majalah-majalah hiburan yang dia sering curi-curi lihat dari simpanan Bakawali? Kata Bakawali, dunia ini sangat luas. Jauh lebih moden. Penuh dengan kilauan lampu berwarna-warni dan bangunan mencakar langit.

“Mawar... Sudah malam. Mari tolongku di dapur. Bapakmu nanti pulang.”

Panggil Puan Cindai dalam dialek suku Jakun. Berdiri sepi di tepi pintu belakang sebelum berlalu menyambung tugas yang tergendala. Mawar hanya menurut tanpa membantah. Sudah menjadi rutin hariannya untuk membantu si ibu menyediakan santapan memandangkan dia merupakan anak sulung di dalam keluarga. Dia cuma perlu taat demi menjadi contoh tauladan kepada dua orang adik perempuan, juga tonggak harapan keluarga.

Beralaskan tikar mengkuang, juadah-juadah disusun tertib. Tatkala bunyi tapak kasut bersaing-saing di luar rumah, Mawar bangkit dari duduk untuk ke pintu utama bagi menyambut kepulangan Encik Raden. Namun kepulangan bapak bukan berseorangan, tetapi ditemani pemuda-pemuda tinggi lampai yang berpakaian moden dan menarik.

“Sudah kau hidangkan makan malam, Mawar? Mereka bertiga pasti kelaparan.”

Mawar hanya mengangguk. Bila bapak menjawab sedemikian, dia sudah boleh mengerti. Memang kadang-kala beberapa orang dari bandar bakal melawati ke kampung ini untuk membuat penyelidikan tentang budaya suku kaum Jakun. Bapak selaku ketua kampung secara tidak langsung akan memberi penginapan kepada para tetamu sehingga urusan tetamunya selesai. Masyarakat sentiasa membuka tangan kepada penyelidik-penyelidik untuk mencoret keistimewaan di kampung ini.

“Hai.”

Mawar menoleh apabila berpapasan dengan seorang lelaki berkulit kuning langsat. Lelaki itu tersenyum, menampakkan barisan giginya yang asmaradanta. Matanya sedikit sepet, alisnya terbentuk sempurna. Segan yang dirasakan kini. Tertunduk-tunduk kepalanya memandang kaki.

“Siapa nama awak?”

“Mawar.”

“Mawar berduri?” Lelaki itu tertawa halus sebelum menghulur kemesraan. “Selamat berkenalan Mawar. Saya Sirhan.”

Senyuman mereka saling berbalasan tanda penyimpulan tali persahabatan. Lima hari pemuda-pemuda itu berada di sini, ada suatu ketika Mawar pasti diminta oleh Encik Raden untuk membawa tetamu mengelilingi kampung. Mampamerkan keindahan yang mereka agung-agungkan serta pohon-pohon yang diikat kain kuning sebagai pendedahan tentang kepercayaan animisme suku Jakun.

“Mawar pernah datang Kuala Lumpur?”

Sirhan menyoal semasa kawan-kawannya sedang leka menangkap gambar suasana dan beberapa bukti kajian untuk diletakkan di dalam tugasan mereka nanti. Dia cuba mencari peluang untuk berbual dengan gadis manis ini memandangkan Hazim dan Rafiqi sedang sibuk. Garisan nipis di mulut Sirhan melata tatkala Mawar membalas soalannya dengan gelengan.

“Tidak pernah, sekadar melihat di majalah saja. Adakah ibu bandar seperti yang dipotret di dalam gambar? Lampu-lampu yang cantik bersama bangunan tinggi?” Mawar melayangkan persoalan. Melihat saja anggukan Sirhan, bebola matanya bercahaya. Tertarik.

“Kalau Mawar berniat datang KL, saya boleh bawa Mawar pusing-pusing bandar. Dekat sana, macam-macam ada.”

“Benarkah? Kau berjanji, Sirhan? Kerbau berpegang pada tali, manusia berpegang pada janji.” Mawar berkata lagi namun kali ini nadanya jelas menunjukkan keterujaan.

“Awak banyak tunjuk keindahan kepada saya, jadi kali ini...biar saya pula yang mencoret janji untuk tunjukkan keindahan pada awak.” Sirhan menyimpul janji, mengangkat sebelah tangan seolah-olah sedang bersumpah. Mereka bertentangan mata sekilas sebelum kesipu-sipuan. Senyuman yang cuma diketahui oleh mereka berdua saja. Seiring detakan hati yang sedang menggila.

“Apa kau sudah gila, Mawar? Apa maksudmu ingin ke bandar? Aku tidak setuju!” Puan Cindai lantang bersuara. Mawar menunduk ketakutan. Ibu sudah naik minyak. “Sudah kukatakan berulang kali Mawar. Lupakan hasratmu! Kau mahu jadi anak yang mementingkan dirikah?”

“Tapi Sirhan sudah berjanji, ibu. Bandar itu indah. Aku ingin melihatnya sendiri. Salahkah permintaanku? Salahkah?” Mawar menyoal namun kali ini air matanya turut mengalir lesu. Bukan kerana hampa tidak diizinkan, tetapi hampa suara-suara hatinya yang dibisukan tidak didengari. Kakinya dirantai, tangannya digari. Dia tidak boleh bergerak kemana-mana sama sekali kerana taat dan pengorbanannya hanya untuk keluarga.

“Salah Mawar! Dunia mereka berbeza, dunia kita berbeza! Duniamu di sini, malah jasadmu juga akan terkubur di sini. Seberapa banyakkah mereka memberi pengaruh buruk kepadamu? Sebesar manakah penipuan mereka kepadamu?”

“Sirhan itu pemuda yang baik ibu. Dia sudah berjanji untuk tunjukkan kepadaku.”

“Kalau dia baik, dia tidak akan mempengaruhimu!”

Mawar tersentak dengan not suara Puan Cindai yang melebihi tempo. Air mata dikesat dengan hujung baju sebelum kakinya berlari keluar dari ruang tamu. Alangkah terkejutnya dia apabila mereka tidak berduaan di ruangan sederhana tersebut. Kelibat Sirhan yang berdiri tegak di tepi jendela tampak kelat apabila mereka berdua bersemuka. Lelaki itu melayangkan senyuman tipis.

Walaubagaimanapun, Mawar juga tahu Sirhan sudah mendengarkan segala-galanya.

“Kau curi-curi dengar?” Soal Mawar namun Sirhan lebih pantas mengalihkan tumpuannya dengan menunding jari pada langit jingga di kaki bukit. Riak Sirhan masih riang, sedikit pun tiada palitan sedih. Sukarnya membaca emosi seorang lelaki.

“Pertama kali saya lihat pemandangan matahari terbenam secantik ini. Lebih cantik di tempat awak.”

“Di tempatmu takkan tidak cantik?”

“Tak secantik yang berada di sini, tak sehangat seperti di sini. Tapi sekurang-kurangnya, kita masih lihat pemandangan yang sama. Betul tak, Mawar?”

Sirhan tersenyum lagi. Kata-kata Sirhan memberi sejuta isyarat kepada Mawar. Namun begitu, Sirhan berundur membawa kekecewaan hati pada keesokan harinya. Membawa hutang janji yang tidak mampu ditunaikan kepadanya. Walaupun sukar untuk diterima, Mawar cuba berpura-pura menelannya. Bukankah itu kepakarannya sejak dahulu? Berpura-pura bahagia walaupun hatinya sedang berdarah? Kata orang, walaupun manusia berubah-ubah, kenangan tetap sama. Mungkin yang membezakannya adalah kenangan buruk ataupun bahagia.

Mawar mula melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti sosial komuniti. Malam ini orang kampung akan mengadakan upacara keagamaan ritual penyembuhan dan pembersihan spiritual. Suku Jakun mempercayai kewujudan hantu, keramat dan dewa-dewa alam. Bila difikirkan kembali, berdosakah sekiranya dia mulai mempersoalkan kewujudan Tuhan di dalam kepercayaannya?

Dia selalu mendengar Sirhan menyebut kalimat Allah pada setiap tengah hari, petang dan malam. Bila dia menyoal, Sirhan menjawab, Allah adalah Tuhan berkuasa yang menciptakan seluruh alam dan isinya. Mawar keliru pada mulanya. Jadi, Allah juga turut menciptakan makhluk dan selama ini dia menyembah ciptaan Allah iaitu alam? Dia berminat untuk cari tahu dengan penghijrahan. Dia mahu keluar dari kampung ini untuk mencari identiti diri, nyala rasa, dan juga pembinaan diri.

Namun sebagai anak yang menjadi tonggak keluarga, yang perlu mentaati, yang perlu menghambakan diri di kampung ini, pasti akan mendapat tentangan yang hebat, bukan? Suaranya masih dibisukan. Mereka sekeluarga bergaduh besar sehingga tamparan sulung bapak hinggap mengenai pipi kanannya. Dia dijolok sebagai anak yang tidak mengenang budi, anak yang mementingkan diri sendiri dan anak yang derhaka. Dikasari dan dicemuh di depan adik-adik perempuan yang masih seumur jagung membuatkan lidah Mawar terkelu. Kalau mereka sudah dewasa, adakah suara mereka juga akan dibisukan?

“Belum cukupkah ketaatanku pada ibu dan bapak? Tidak pernah sesekali pun aku membangkang, malah putih yang dikatakan maka putih lah. Jika hitam, maka hitam. Apa besarkah permintaanku?”

“Kau itu anak! Hidupmu perlu dilangsungkan mengikut telunjuk keluargamu. Orang tuamu tahu apa yang terbaik untukmu Mawar.”

“Jadi manakah bahagian untukku? Manakah hak ku untuk memilih bahagiaku sendiri? Aku perlu mengikut telunjuk seperti kerbau dicucuk hidung? Itu maksudmu?”

Mawar membidas kembali. Pertama kali. Pertama kali dalam hidupnya dia bersuara sehingga membawa kepada lari rumah pada malam hari. Berlari dan terus berlari dalam keadaan sehelai sepinggang. Tiada saudara mara, tiada kenalan. Hanya berbekalkan keberanian dan azam yang sudah senipis kulit bawang. Manusia masih baik menumpangkannya di belakang trak lori ayam. Tiba saja di kota metropolitan yang pernah dihebah Sirhan, matanya menyaksikan sendiri keindahan ciptaan manusia yang melangit.

Benar. Kuala Lumpur seperti yang dia impikan. Hatinya teruja. Air matanya menitis. Sirhan, aku sudah sampai.

Tiga tahun berlalu pantas. Hidup Mawar kini berubah. Bermula dari bekerja sebagai pencuci piring di kedai makan, tidur di masjid, mengutip tin-tin kosong sebagai modal beli makanan harian akhirnya berakhir dengan menjadi ejen dalam penjualan barang-barang di alam maya. Dia tiada taraf pendidikan, namun rezeki yang dikurniakan Allah SWT lumayan dengan usaha yang dicurahkan. Dia sudah mempunyai tempat berteduh, juga mencari pengalaman hidup dan melalui begitu banyak kesukaran. Ada suatu ketika, perut yang lapar terpaksa disuap dengan sisa makanan orang lain.

Benar kata ibu dan bapak. Dunia di sini dan dunianya di kampung sangat berbeza. Dia juga pernah cuba mencari Sirhan setahun lalu, dengan harapan lelaki itu mengingatinya dan menunaikan janji yang pernah disimpulkan. Mawar tidak pernah berputus asa. Pencariannya berakhir di laman sosial media dan berderainya hati ini untuk menelan hakikat pemuda yang mencuri hatinya sudah berumahtangga.

Mawar menghargai segala nikmat yang diterima. Perjalanan yang membawa kepada kematangan, penerimaan kepada sesuatu yang lebih baik dan kebebasannya dalam memilih dan bersuara. Mungkin tidak seindah seperti cerita dongeng Cinderella yang diidamkan oleh gadis-gadis, namun sekurang-kurangnya, dia sudah melangkah sejauh ini dengan kudratnya sendiri. Sakit yang dirasakan dahulu sudah alah bisa tegal biasa. Bukankah itu juga satu pencapaian?

Langit jingga di kaki bukit menghiasi kala senja. Mawar tersenyum lagi, merasai deruan lembut sambil menikmati pemandangan indah di kampung halaman. Suara ibu dan bapak kadang-kadang kedengaran berselang-seli. Mawar bersandar kepala di bahu seseorang. Dia juga sudah menemui erti bahagia yang sebenar bersama sang suami. Rafiqi tunduk mengucup dahi Mawar dan melafaz kata cinta. Mawar tersenyum bahagia.

Kita melihat pemandangan yang sama namun kali ini, keindahannya luar biasa.

*Cerpen ini adalah hasil tulisan peserta Bengkel Pembinaan Bakat Tunas Remaja Penulisan Cerpen anjuran Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah dan Institut Kepimpinan Pelajar, UiTM Shah Alam. 

Share:

Bengkel Pembinaan Bakat Tunas Remaja Penulisan Cerpen


SHAH ALAM, 24 November 2023: Bengkel Pembinaan Bakat Tunas Remaja Penulisan Cerpen telah diadakan seperti butiran berikut: 

Tarikh             : 22-23 November 2023 (Rabu-Khamis) 
Masa               : 8:00 pagi 4:00 petang 
Tempat            : Bilik Seminar, PTAR 
Kehadiran       : 20 orang pelajar 
Penceramah    : Puan Sri Diah 

Objektif penganjuran bengkel ini adalah untuk menanam minat penulisan cerpen dalam kalangan pelajar disamping pendedahan kerjaya sebagai penulis. 

Puan Sri Diah atau nama sebenar Radiah Shaharuddin lahir pada 10 Julai 1962 dan berasal dari Kuala Lumpur. Beliau berkelulusan daripada Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang dalam bidang penulisan kreatif. Telah menulis puisi seawal usia 16 tahun dan berikutnya telah memulakan karier yang panjang sebagai editor selama 39 tahun di Karangkraf Sdn Bhd. Antara novel popular karangan beliau seperti Selamat Malam Tan Sri, Dosa Malam Pengantin dan Suite 1908. 

Bengkel ini adalah anjuran Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Kepimpinan Pelajar, UiTM Shah Alam. 

Dari kiri: Asmah Sabtu, Tuan Ts Haji Azizi bin Haji Jantan, Encik Mohd Asri Mohammad, Puan Sri Diah dan Puan Shahidatul Akhmam Rambeli (berdiri). 

Hari pertama: Perkongsian draf penulisan oleh Nurul Najwa binti Mazlan daripada program CAFF233 Sarjana Muda Penulisan (Kepujian) Penulisan Kreatif  

Hari pertama: Perkongsian draf penulisan oleh Arif Haiqal bin Roslan daripada program LW224 Sarjana Muda Undang-undang (Kepujian) 

Hari pertama: Perkongsian draf penulisan oleh Muhammad Aidi Syaffri bin Mohd Idham daripada program MC241 Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) 

Hari pertama: Perkongsian draf penulisan oleh Iza Nur Yasmina binti Muhamad Zawahir daripada program CAFF233 Sarjana Muda Penulisan (Kepujian) Penulisan Kreatif  

Hari kedua: Perkongsian hasil penulisan cerpen oleh saudari Anis 

Hari kedua: Perkongsian hasil penulisan cerpen oleh saudara Aiman

Hari kedua: Perkongsian hasil penulisan cerpen oleh saudari Siti Norizyani





















Peserta bengkel

Peserta bengkel

Sesi autografi bersama puan Sri Diah. 

Pengacara bengkel Encik Mohd Khairul Idzwan Mohd Saad

Dari kiri: Encik Mohd Asri bin Mohammad (DBP wilayah Tengah) dan Tuan Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan

Penyampaian cenderamata kepada Puan Sri Diah (kanan)

Penyampaian cenderamata kepada Tuan Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan (kiri)


Share:

Labels

Total Pageviews