Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) mengalu-alukan penglibatan pelajar dan pensyarah untuk menyumbang hasil kerja seni pelajar ke perpustakaan bagi tujuan penyimpanan, penyebaran dan pemuliharaan bahan.
Dalam ucapan sewaktu Majlis Perasmian Pameran Dokumentasi Art & Heritage Exploration Terengganu: Kairosclerosis yang berlangsung di ruang Galeri Perpustakaan Tun Abdul Razak, Ketua Timbalan Pustakawan dan Menjalankan Tugas Ketua Pustakawan Ts. Hj. Azizi bin Hj. Jantan menyatakan akan kepentingan hasil kerja seni pelajar dikumpul, disebar dan dipelihara di perpustakaan sebagai sumber rujukan buat generasi berikutnya.
Menurut beliau, UiTM Repositori Institusi atau lebih dikenali sebagai UiTM IR kini mempunyai 65,000 penerbitan warga UiTM akan dijadikan hub penyimpanan imej digital hasil seni pelajar memandangkan jenis bahan ini masih belum disimpan oleh perpustakaan.
Tambahnya lagi, para pelajar harus menjadikan perpustakaan sebagai "rumah kedua" dengan mengadakan pelbagai aktiviti yang mencambah daya kreativiti dan pengetahuan.
Apatah lagi perpustakaan mempunyai pelbagai kemudahan yang diperlukan bagi menyokong sistem pembelajaran di universiti.
Pameran Dokumentasi Art & Heritage Exploration Terengganu: Kairosclerosis telah dirasmikan oleh Ketua Pengajian Seni Halus Profesor Madya Dr. Mumtaz binti Mokhtar di hadapan hampir 100 orang pelajar dan pensyarah Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Shah Alam.
Pameran ini telah berlangsung selama tiga hari bermula 12hb Julai hingga 14hb Julai 2023 di PTAR.
0 comments:
Post a Comment