Perpustakaan adalah organisasi yang amat penting dalam mengurus jutaan naskhah pengetahuan sama ada di peringkat komuniti, sekolah mahupun institusi pendidikan tinggi negara.
Dahulu, apa sahaja tentang perpustakaan adalah bersifat fizikal. Pengunjung perlu berada di perpustakaan untuk membaca, merujuk, mencari atau mencambah idea untuk menghasilkan penulisan mahu pun penyelidikan.
Pencarian bahan perpustakaan agak mengambil masa kerana kaedah pencarian dilakukan dengan cara meneliti satu persatu ribuan kad katalog tajuk, pengarang atau subjek perkara yang disusun mengikut susunan abjad A hingga Z. Tujuannya adalah bagi mendapatkan nombor panggilan yang akan diguna ketika pencarian bahan di rak buku. Pencarian bahan boleh menjadi sesuatu yang sukar seandainya status bahan sama ada sedang dipinjam, sedang dibaiki atau hilang tidak diketahui oleh pengguna.
Lebih lima puluh tahun yang lalu, perkembangan koleksi perpustakaan hanya terhadap bahan yang boleh dilihat dan disentuh. Jenis bahan buku adalah bentuk maklumat yang lazimnya disimpan, diproses dan disebar oleh perpustakaan. Nilai buku ketika itu adalah 'bukan mampu milik' secara individu. Kebanyakan buku adalah terbitan luar negara dan sukar untuk diperoleh.
Oleh kerana bernilainya buku pada ketika itu, maka perpustakaan tidak sunyi daripada kehadiran pengunjung saban waktu. Selesai kuliah bersama pensyarah, perpustakaan adalah lokasi wajib ditujui oleh mahasiswa sekitar 60 an hingga 90 an untuk menyiapkan tugasan. Hanya perpustakaan 'mampu memiliki' buku untuk dirujuk dalam kuantiti yang banyak sama ada terbitan dalam atau luar negara.
Memasuki alaf baharu tahun 2000, fungsi perpustakaan telah berkembang dengan amat pesat. Perkembangan teknologi maklumat secara global telah memberi manfaat besar terhadap perpustakaan sebagai pusat penyebaran maklumat.
Kini, perpustakaan boleh berada di rumah, kolej kediaman, restoran mahu pun di pusat-pusat rekreasi. Perkhidmatan aplikasi perpustakaan di telefon bimbit pengguna telah membolehkan perpustakaan berada di mana-mana sahaja hinggakan seluruh perkhidmatan perpustakaan boleh diakses dengan mudah.
Faktor masa bukan lagi suatu halangan kerana pengguna boleh menggunakan perpustakaan pada bila-bila masa.
Aksesibiliti terhadap koleksi perpustakaan boleh diketahui serta merta kesan daripada proses pendigitalan dan keutamaan terhadap pembangunan sumber maklumat digital.
Keperluan sumber maklumat individiu telah menjadi sesuatu yang kompleks sehingga sumber maklumat dipakej berdasarkan personaliti, minat dan trend. Apa sahaja koleksi perpustakaan akan dikategori mengikut ciri di atas agar Return on Investment (ROI) koleksi perpustakaan dapat dipertingkat.
Lebih lima dekad Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) memberi perkhidmatan perpustakaan berkualiti buat warga UiTM. Amanah untuk membangunkan bangsa berilmu pengetahuan yang saujana pemikirannya terus digalas dan disempurna sebaik mungkin sebagaimana hasrat Perdana Menteri Kedua Malaysia Allahyarham Tun Abdul Razak.
Memanjat usia 51 tahun PTAR pada 29 Julai 2023, PTAR adalah perpustakaan akademik terbesar berjumlah 39 buah Perpustakaan UiTM di seluruh Malaysia. PTAR telah mencapai tahap pendigitalan Industrial Revolution (IR 4.0) menerusi perkhidmatan MobileApp@UiTM Library, MyKM@Personalised Education dan Ranking Web of World Repositories ke-56 dunia.
Semoga PTAR terus maju dan berdiri teguh merintis kecemerlangan menjelang Globally Renowned University 2025 (GRU2025).
0 comments:
Post a Comment