Saturday, 24 February 2024

Manuskrip Melayu Perlambangan Tradisi Keilmuan Raja-Raja Melayu


Jumaat, 
13 Syaaban 1445H,
23 Februari 2024M:  

Dirasakan masa bergerak amat pantas apabila membicarakan mengenai pemeliharaan manuskrip diraja bersama Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu. 

Manakan tidak, banyak persoalan sekitar Manuskrip Melayu telah dilontarkan oleh penonton dalam talian yang mencecah hampir 800 jumlah penonton ketika bersiaran. 

Malah, istilah 'manuskrip' sendiri adalah perlambangan sesuatu yang amat bernilai dan bukti jelas tahap ketamadunan sesuatu bangsa di masa lampau yang seharusnya dipulihara serta dipelihara buat rujukan generasi yang akan datang. 

Dalam hal ini, perkongsian ilmu oleh Encik Abdul Rahman Muhammad Shariff menerusi program Bicara Pakar baru-baru ini boleh dijadikan panduan berguna buat golongan pencinta manuskrip. 

Lazimnya, 99% manuskrip Melayu ditulis di atas kertas yang mudah terdedah kepada ancaman serangga dan persekitaran yang tidak kondusif. Justeru mengetahui kaedah penjagaan yang betul seperti penetapan suhu di bawah 20 darjah celcius amat perlu untuk memastikan jangka hayat bahan lebih lama.

Ramai orang tidak mengetahui naskah buku atau helaian atau objek yang dimiliki sebenarnya tergolong sebagai bahan manuskrip. Hal ini mungkin berpunca daripada ketidakpastian sumber untuk dirujuk. Justeru, orang ramai amat dialu-alukan untuk menghubungi Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu yang telah wujud sejak tahun 1985 untuk mendapat khidmat nasihat dan panduan berkenaan bahan manuskrip dimiliki. 

Manuskrip Diraja seperti MSS 2141 dan MS 488 amat menarik untuk dikaji dengan lebih mendalam. Kisah di sebalik perutusan surat dan penerbitan lain-lain manuskrip amat wajar diteliti, didokumenkan dan 'dikisahkan' dari mulut ke mulut agar diteladani hikmah disebalik sesuatu peristiwa lampau. 

Bicara Pakar adalah program kolaborasi antara Kursi Institusi Raja-Raja Melayu dan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) yang mengundang pakar-pakar tempatan untuk mengupas topik berkaitan Kesultanan Melayu dan sosiobudaya. 
Kiri: Mashitah Syed Zainal (Pelajar Latihan Industri), Asmah Sabtu, Abdul Rahman Muhammad Shariff, Dr. Azman Mat Isa, Rahman Naim Mat Ali dan Mohd Shahril Zamri.  






Share:

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

Labels

Blog Archive

Total Pageviews