Friday, 3 February 2023

Memperhebat aspirasi GRU2025 menerusi Webinar Bicara Transformasi, Bicara Motivasi dan Bual Bicara di Radio UiTM



Shah Alam, 1 Februari 2023 - Kepakaran PTAR dalam penerbitan program siaran langsung terbukti apabila telah diundang ke Mesyuarat Kolaborasi Penganjuran Program Webinar Bicara Transformasi, Bicara Motivasi dan Bual Bicara di Radio UiTM. 

Mesyuarat yang dipengerusikan secara bersama oleh Pengarah BTU Profesor Madya Ts. Dr. Mohamad Faizul Yahya dan Ketua Unit Transformasi Minda dan Organisasi Profesor Madya Dr. Alwi Mohd Yunus telah berlangsung di BTU, Bangunan Canseleri. Turut hadir dalam mesyuarat selama dua jam ini ialah Penolong Penerbit Rancangan Kanan Radio UiTM (UFM) Puan Nurafiza Abu Bakar dan Penolong Pendaftar Kanan ACIS Encik Muhammad Khalid Abdullah.  

Wakil PTAR yang terdiri daripada Ketua Bahagian Korporat dan Kolaborasi Puan Shahidatul Akhmam Rambeli, Ketua Unit Perhubungan Awam Puan Zuhaslinda Sulaiman dan Pembantu Pustakawan Tertinggi Encik Mohd Khairul Idzwan Mohd Saad, telah hadir bagi membincangkan objektif dan penyelarasan strategi diperingkat PTAR bersama jabatan terlibat. Jabatan Korporat UiTM dan Institute of Leadership and Development (ILD) UiTM turut disebut bagi menyokong pelaksanaan program ini. 

Sejumlah 29 topik pilihan menarik yang menyentuh tema-tema dalam Pelan Strategik UiTM 2025 telah sedia untuk dibicara dengan lebih lanjut menerusi penganjuran ketiga-tiga program ini. Antara topik yang dijangka menarik ialah Transformasi Keusahawanan, Transformasi Digital dan Transformasi Minda. Turut tersenarai topik berkaitan kualiti penerbitan UiTM dan Transformasi Kepimpinan. 

Program yang akan bersiaran selama dua jam ini akan mengundang tetamu khas dari Kampus/ Fakulti/ Jabatan di UiTM untuk berkongsi amalan terbaik yang boleh dicontohi oleh warga UiTM. Kepakaran luaran akan turut diundang untuk mengemukakan input dikalangan agensi pendidikan negara. 

Siri Webinar Bicara Strategi Transformasi dijangka akan mula bersiaran di Ruang Media PTAR bermula pada hari Selasa minggu ketiga bulan Februari. Manakala siri Bicara Motivasi Transformasi yang akan diterajui oleh ACIS dijangka akan mula bersiaran pada hari Jumaat minggu pertama  bermula bulan Mac. 

Program-program ini bermatlamat sebagai agen transformasi minda disamping pengukuhan 'mindset' yang betul dikalangan warga UiTM. Disamping itu, kesemua program ini dirangka bagi menyedia warga UiTM ke arah pencapaian aspirasi Globally Renowned University 2025 (GRU2025) UiTM.  

Siri webinar, bicara motivasi dan bual bicara di radio ini akan dianjurkan secara bulanan sepanjang tahun 2023 dan terbuka untuk semua warga UiTM. Ayuh bersama memperhebat aspirasi GRU2025 UiTM. 

 


 





Share:

0 comments:

Post a Comment

Labels

Total Pageviews