SHAH ALAM, 21 Disember 2023 - Ketokohan Tan Sri Dato' Seri Dr. Haji Noor Hisham Abdullah sewaktu mengendalikan krisis Covid-19 sememangnya amat dikagumi oleh ramai orang. Tidak ramai memiliki keupayaan menyampaikan maklumat dengan yakin dan bersahaja di hadapan ratusan wakil media sewaktu negara sedang dilanda krisis kesihatan global dan geopolitik.
Memulakan perkongsian sewaktu program Siri Cakna Polisi yang diadakan di Ruang Bicara jam 10 pagi, Tan Sri telah berkongsi pengalaman beliau mengurus komunikasi, maklumat dan media dengan amat berkesan hingga menjadikan beliau orang ketiga dirujuk di dunia mengenai penularan semasa wabak COVID-19.
Disamping saluran media massa, Tan Sri telah memanfaatkan sepenuhnya saluran sosial media sebagai alat komunikasi umum. Setiap hantaran akan dinilai kesahihannya, difahami secukupnya dan disampaikan dengan bahasa yang mudah agar mesej dapat diterima dengan berkesan. Tambah beliau, keupayaan teknologi masa kini telah membolehkan maklumat COVID-19 disebar dengan segera demi kesejahteraan umum.
Menceritakan kembali detik peningkatan kes COVID-19 bermula dengan perhimpunan lebih 10,000 orang di Masjid Sri Petaling, perkongsian maklumat yang cepat dari rakan sejawatan di Brunei dan Indonesia telah berjaya mengekang penularan wabak dalam tempoh yang pantas.
Memanfaatkan sepenuhnya pengalaman sebagai pakar bedah di beberapa buah negara, Tan Sri amat arif dalam melaksanakan dasar dan polisi perubatan terbaik negara. Dasar pencegahan dan kawalan telah terbukti berjaya menurunkan jumlah kes COVID-19 hingga negara menghentikan sepenuhnya Perintah Kawalan Pergerakan pada 1 April 2021.
Program Cakna Polisi: Kronologi Satu Tahun Pertama COVID-19; Pengurusan Komunikasi dan Polisi adalah anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media dengan kerjasama Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) yang diadakan di Ruang Bicara PTAR.