• Perpustakaan Tun Abdul Razak

  • Universiti Teknologi MARA

Saturday, 17 December 2022

Pembentangan Perancangan Strategik di Bawah Seliaan PTJ Pejabat Naib Canselor

 


Pada 17 hinggga 18 Disember 2022 telah diadakan Pembentangan Perancangan Strategik di bawah seliaan PTJ Pejabat Naib Canselor UiTM. Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan, Ketua Timbalan Pustakawan telah mewakili Ketua Pustakawan UiTM untuk membentangkan perancangan strategik Perpustakaan UiTM dengan fokus kepada Globally Marketable 2023. Program ini telah disertai semua PTJ di bawah seliaan Pejabat Naib Canselor bertempat di Swiss Garden, Genting Highlands








Share:

Wednesday, 14 December 2022

UiTM, UPI meterai MOC Berfokuskan kepada Pembangunan perpustakaan dan Profesional Pustakawan


Bandung, 12 Disember 2022 - Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah melakar sejarahnya yang tersendiri apabila berjaya memeterai Memorandum Kerjasama (MOC) dengan Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) di dalam bidang pembangunan perpustakaan dan kepustakawanan. 

Menerusi MOC ini, institusi pendidikan tinggi di kedua-dua negara ini akan bekerjasama erat dalam perkara berkaitan pembangunan repositori, perkhidmatan perpustakaan dan komuniti serta pembangunan bakat di perpustakaan akademik.  

Pemeteraian MOC ini telah ditandatangani oleh Ketua Timbalan Pustakawan UiTM YBrs. Ts. Hj. Azizi bin Hj. Jantan  dan Ketua Pustakawan UPI YBrs. Dr. Riche Cynthia Johan, M. Si.

Turut hadir di majlis yang diadakan di Perpustakaan UPI, Kota Bandung, Jawa Barat, Indonesia,  ialah Ketua Jabatan Perolehan Bahan Perpustakaan UPI YBrs. Hada Hidayat Margana, M.I.Kom., Pustakawan Kanan UiTM Tuan Hj. Ahmad Faizar bin Jaafar dan Pustakawan UiTM Encik Asraf Zamani bin Hazim.  

Dengan termeterainya MOC ini, Perpustakaan UiTM komited terhadap halatuju UiTM ke arah Gobally Renowned University 2025 (GRU2025) disamping  memartabatkan perpustakaan dan profesion kepustakawanan di peringkat antarabangsa.

YBrs. Ts. Hj. Azizi bin Hj. Jantan (tiga dari kiri) dan YBrs. Dr. Riche Cynthia Johan, M. Si.

 



Share:

Thursday, 24 November 2022

BKRP Digital Filing System Hasil Perkongsian Kepakaran Pustakawan UiTM dan Kementerian Kesihatan Malaysia


Shah Alam, 23 November 2022 - Satu majlis penyerahan BKRP Digital Filing System telah diadakan antara Pustakawan Kanan Tuan Hj. Ahmad Faizar bin Jaafar dan Ketua Penolong Pengarah Kanan YBrs. Encik Yusri bin Yusuf bertempat di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. 

Turut hadir Pustakawan Kanan Encik Mohd Izwan bin Salim dan Penolong Pengarah Kanan Dr. Tan Hun Yee. 

BKRP Digital Filing System ialah satu sistem repositori rekod yang mengandungi dokumen-dokumen utama di dalam format digital. Tujuan utama pembangunan BKRP Digital Filing System ini ialah untuk pengaksesan maklumat yang lebih mudah, pantas dan cekap. Ia juga membantu dalam penjimatan ruang rekod kesan kuantiti rekod fizikal yang semakin bertambah. 

Pembangunan BKRP Digital Filing System ini bertepatan dengan jalinan Surat Hasrat (LOI-Letter of Intent) yang ditandatangani pada 28 September 2022 antara PTAR dan Bahagian Kawalselia Radiasi Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

Perkara yang lebih membanggakan, BKRP Digital Filing System dibangunkan oleh kepakaran dalaman tanpa melibatkan sebarang kos. 

Perkongsian kepakaran antara sektor kerajaan ini memberi manfaat yang besar terhadap operasi institusi dan pihak berkepentingan. Dengan berbantukan teknologi pendigitalan dan sistem penyimpanan maklumat bersepadu, tahap penyampaian perkhidmatan ditambahbaik dan jangka hayat penyimpanan rekod kekal terpelihara. 

Simbolik penyerahan BKRP Digital Filing System antara Tuan Hj. Ahmad Faizar bin Jaafar (kanan) dan YBrs. Encik Yusri bin Yusuf (kiri) 

BKRP Digital Filing System 

Encik Mohd Izwan bin Salim (kanan) sedang menyediakan pemasangan BKRP Digital Filing System





Share:

Wednesday, 23 November 2022

Ketua Pustakawan UiTM Berkongsi Kemahiran 'Speed Reading'


Shah Alam, 23 November 2022 - Ketua Pustakawan UiTM telah berkongsi kemahiran Speed Reading atau bacaan pantas bersama-sama dua belas orang staf Bahagian Hal Ehwal Islam, UiTM yang mengikuti Modul Pakej B di PTAR pada pagi ini. Beliau turut dibantu oleh Timbalan Ketua Pustakawan Kanan Puan Hani Liza Norfin dan Pustakawan Kanan Puan Siti Salwa A. Rahman yang bertindak sebagai tenaga pengajar program Speed Reading

Kemahiran Speed Reading merupakan teknik bacaan dengan kelajuan yang cepat. Kemahiran ini memerlukan kombinasi keupayaan visual dan keupayaan kognitif individu sewaktu membaca. Sewaktu pembacaan dilakukan, individu akan bertindak balas terhadap dua proses iaitu kepantasan membaca dan memahami isi bacaan.  Bacaan pantas berfungsi memantau secara sepintas lalu bahan bacaan yang ada dihadapannya dan dalam masa yang sama memilik kemampuan memahami apa yang berlaku. 

Penganjuran program Speed Reading di PTAR ini tercetus sewaktu Naib Canselor UiTM YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor menyampaikan ucapan di Majlis Sambutan 365 Hari Naib Canselor UiTM pada 5 September 2022. Menerusi ucapannya, YBhg. Naib Canselor menggalakkan warga UiTM menguasai kemahiraan bacaan pantas. Menurut beliau lagi, individu yang memiliki kemahiran bacaan pantas mempunyai kelebihan berbanding individu lain malah memudahkan urusannya dalam menimba ilmu.  

Justeru, PTAR mengambil langkah proaktif menganjurkan program Speed Reading yang telah dibuka penyertaannya kepada seluruh staf UiTM bermula 15 November 2022 yang lalu. Pendaftaran program ini boleh dilakukan menerusi pautan berikut: https://ptar.uitm.edu.my/libguides/subjects/guide.php?subject=speed-reading

Menerusi program Speed Reading PTAR ini, terdapat tiga pilihan modul fleksibel yang mensasarkan kepada tiga golongan peserta  iaitu Modul Pakej A bagi kursus sehari, Modul Pakej B bagi program separuh hari dan Modul Pakej C bagi program dua jam. 

Bagi individu yang ingin mengikuti program secara intensif disarankan mengambil Modul Pakej A. Kandungan modulnya sarat dengan teknik imbasan dan teknik luncuran yang amat sinonim dengan kemahiran bacaan pantas. Selain itu, modul ini turut menawarkan teknik kawalan pergerakan mata yang betul (Fixation Exercise). Sebagai tambahan, Modul Pakej A menawarkan latihan minda (Brain Gym) bagi meningkatkan tahap kawalan minda yang aktif sewaktu proses membaca. Latihan, penilaian dan kuiz persepsi (Perception Quiz) secara intensif turut disediakan buat peserta yang mengikuti Modul Pakej A. 

Untuk golongan yang ingin menguasai kembali kemahiran ini, Modul Pakej C amat sesuai dijadikan pilihan. Modul ini hanya mengambil masa dua jam buat peserta membina kembali kemahiran bacaan pantas. Kandungan modulnya mengandungi teknik Fixation Exercise dan peserta akan diuji keupayaan bacaan pantas terhadap sumber bacaan secara atas talian dan bercetak.  Modul ini tiada mengandungi kuiz persepsi berkaitan kemahiran bacaan pantas. 

Modul Pakej B pula ditawarkan bagi individu yang mempunyai masa yang terhad bagi mengikuti program sehari. Modul ini mengandungi set latihan, penilaian dan kuiz. Teknik Fixation Exercise akan ditawarkan sebagai kandungan utama modul ini.

Kesemua modul di atas akan diadakan secara bersemuka di semua lokasi PTAR.  

Namun begitu, program Speed Reading anjuran PTAR ini menjadi lebih menarik apabila ianya turut boleh diadakan di fakulti, pusat pengajian mahupun pejabat secara berkumpulan dengan syarat jumlah individu dalam sebuah kumpulan mencapai 15 orang atau lebih. Bagi memenuhi keperluan pembelajaran daripada kumpulan yang sama ini, tenaga pengajar bacaan pantas PTAR akan turun padang ke lokasi pemohon bagi berkongsi kemahiran dan pengetahuan yang dimiliki berkaitan kemahiran bacaan pantas ini. Menarik bukan! 

Ayuh, warga UiTM. Bersama kita jayakan program Speed Reading@PTAR. 

Ketua Pustakawan UiTM Encik Jamalludin Hj. Sulaiman di program Speed Reading PTAR. 

Peserta program Speed Reading daripada BHEI, UiTM. 

Puan Hani Liza Norfin berkongsi kemahiran Speed Reading. 

Peserta BHEI sewaktu sesi soal jawab. 




Share:

PROGRAM PROFESSIONAL FINANCE FOR NON-FINANCE (ProFiNoF)

PROGRAM PROFESSIONAL FINANCE FOR NON-FINANCE (ProFiNoF) merupakan anjuran AKEPT bersama Pejabat Bursar UPM bagi memberikan penerangan berkenaan pengurusan kewangan di Universiti.


Salah satu agenda utama pembentangan adalah Forum Mengenai Cabaran Pendanaan Univesiti Awam - Apa kata Industri. Program ini turut dihadiri peserta yang mewakili Universiti Awam Malaysia



Banyak input dan pelbagai pandangan yang dikongsikan bagi memastikan Universiti Awam dapat meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan di Universiti dan strategi penjanaan pendapatan yang boleh dilaksanakan.





Share:

Wednesday, 16 November 2022

Penyelidik Universitas Indonesia Memilih PTAR Menjalankan Kajian tentang The Impact of COVID-19 Pandemic on Academic Libraries


Shah Alam, 16 November 2022 -  Seramai lima orang penyelidik daripada Universitas Indonesia telah memilih PTAR, Shah Alam sebagai lokasi kajian dalam bidang pengurusan maklumat. Dua kajian tersebut iaitu “Information Needs and Seeking Behaviour of Undergraduate Students in Indonesia and Malaysia in Times of COVID-19 Pandemic” dan “The Impact of COVID-19 Pandemic on Academic Libraries in Indonesia and Malaysia: Services Policy and Model”. 

Ketua Pustakawan UiTM YBrs. Encik Jamalludin bin Hj. Sulaiman, Ketua Timbalan Pustakawan, Tuan Ts. Hj. Azizi bin Hj. Jantan, Ketua Bahagian Korporat & Kolaborasi Puan Shahidatul Akhmam binti Rambeli dan Encik Mohd Izwan bin Salim telah membentangkan maklumat dan pengalaman menguruskan perpustakaan akademik sepanjang pandemik Covid-19.

Para penyelidik Universitas Indonesia terdiri daripada Dr. Fuad Gani (M.A.), Reynaldo De Archellie (M.Si.), Nurmaya Prahatmaja (S.Sos. MA), Wira Sakinatun Najahah (M.Hum.) dan Moethia Anggraeni (S.Hum.).

Perbincangan dua hala ini berakhir jam 1:00 petang dengan kedua-dua pihak mengalu-alukan kunjungan dan peluang kerjasama pada masa akan datang. 

                  Ketua Pustakawan UiTM YBrs. Encik Jamalludin bin Hj. Sulaiman (kiri) berkongsi maklumat bersama penyelidik dari Universitas Indonesia. 

Penyelidik (dua dari kanan) sewaktu melawat PTAR. 
Tuan Ts. Hj Azizi bin Hj, Jantan (dua dari kanan) berkongsi pengalaman dan maklumat bersama penyelidik Universitas Indonesia. 

Share:

Tuesday, 15 November 2022

Bicara Buku@PTAR "Tersinggung Dalam Perjuangan"


Shah Alam, 14 November 2022-Bicara Buku@PTAR telah menampilkan tetamu yang amat istimewa iaitu YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Seri Dr. Ibrahim Shah bin Abu Shah yang mengupas buku tulisan beliau berjudul "Tersinggung Dalam Perjuangan: Sebuah Perjalanan Autobiografi".

Selama dua jam, sejumlah 683 orang telah menonton secara langsung di saluran YouTube Perpustakaan UiTM dan Facebook Perpustakaan UiTM, pengkisahan pengalaman hidup YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Seri Dr. Ibrahim Shah. 

Kisah pengalaman yang diceritakan kembali oleh beliau sendiri amat bernilai untuk diketengahkan di dalam masyarakat umum agar dapat dijadikan panduan dan rujukan anak bangsa di masa hadapan. Kisah ini cukup dekat dengan jatidiri, institusi dan survival bangsa Melayu dan Bumiputera yang berlaku di Malaysia sejak tahun 1970 hingga tahun 2009. 

Dari kanan: Puan Shahidatul Akhmam binti Rambeli, Encik Jamalludin bin Hj. Sulaiman, YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Seri Dr. Ibrahim Shah bin Abu Shah, Dr. Noor Nirwandy bin Mat Noordin dan Encik Mohd Khairul Idzwan bin Mohd Saad.  

Pengalaman YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Seri Dr. Ibrahim Shah selama empat dekad bersama UiTM ini telah disentuh dengan amat berkesan oleh moderator program, Dr. Noor Nirwandy bin Mat Noordin. Beliau amat bijak merencana masa bual bicara agar dapat menyentuh hampir keseluruhan bab di dalam buku autobiografi ini. 

Diterbitkan pada tahun 2022, buku "Tersinggung Dalam Perjuangan" mengandungi 15 bab dan 653 muka surat, sarat dengan kisah pengalaman dan perjuangan YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Seri Dr. Ibrahim Shah menongkah arus demi bangsa dan institusi Melayu ini. Buku autobiografi ini lengkap dengan gambar dan keratan akhbar bewarna lantas menjadikan nukilan ini sesuatu yang 'wajib' dibaca khususnya warga UiTM. 

Bagi yang terlepas siaran langsung bual bicara buku ini, siaran ulangan boleh ditonton di pautan Youtube Perpustakaan UiTM Tersinggung Dalam Perjuangan manakala pesanan naskhah buku boleh di lakukan di portal Tersinggung Dalam Perjuangan. Naskhah buku ini turut tersedia di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Shah Alam. 


Buku "Tersinggung Dalam Perjuangan". 

Bermula dengan pengalaman sebagai pelajar di Kampus Jalan Othman sekitar tahun 1971 dan seterusnya sebagai kumpulan pelajar pertama yang berpindah di Seksyen 1, Shah Alam, YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Seri Dr. Ibrahim Shah telah bergiat aktif dalam siri kepimpinan pelajar. Pada masa itu, perjuangan pelajar antaranya berkisar tentang pengiktirafan kerajaan terhadap program Diploma di Institut Teknologi MARA (ITM). Perjuangan ini telah membuahkan hasil apabila beliau menjadi kumpulan pertama pelajar peringkat Diploma yang diiktiraf oleh kerajaan. 

Pengalaman ini juga telah digunakan dengan sebaiknya sehingga menghasilkan beberapa polisi berkaitan kebajikan penuntut Universiti Teknologi MARA.

Mengulas tentang maksud judul "Tersinggung Dalam Perjuangan", YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Seri Dr. Ibrahim Shah mengibaratkannya seperti pepatah Melayu "Pukul anak sindir menantu". Bagi beliau, penulisan buku ini seharusnya dilihat melalui konteks yang luas iaitu konteks sebuah negara. 

Mesej yang hendak disampaikan menerusi judul buku ini ialah tentang tiga ciri ini: Kepimpinan, perpaduan dan integriti. 

Pengalaman hampir dibuang sekolah sewaktu di tingkatan lima, peristiwa 13 Mei 1969 dan ancaman rasuah ialah antara pengalaman beliau yang diceritakan kembali sebagai gambaran jelas maksud judul buku ini dalam konteks sebuah negara. Bagi beliau, kehebatan individu mahupun bangsa memerlukan tiga ciri ini. 

YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Seri Dr. Ibrahim Shah turut mengaitkan judul buku ini dengan kejayaan yang dicapai oleh UiTM. Antara kejayaan UiTM yang disebut ialah penganugerahan status universiti pada tahun 1999 dan kejayaan meraih Anugerah Kualiti Perdana Menteri (AKPM) pada tahun 2008. AKPM ialah anugerah di peringkat kebangsaan di mana sejumlah seratus jabatan kerajaan dan badan-badan berkanun dalam sektor awam bersaing merebut pengiktirafan tersebut. 

UiTM telah menjadi satu-satunya universiti awam yang memenangi pengiktirafan AKPM. Dengan kejayaan ini, UiTM telah tergolong dalam kumpulan enam teratas universiti terkemuka negara. 

Menurut YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Seri Dr. Ibrahim Shah, kejayaan ini ialah bukti bahawa golongan Melayu dan Bumiputera mampu meraih kejayaan sekiranya bersatu padu dan mengenepikan perselisihan bersifat peribadi. 

Natijah sekiranya orang Melayu tidak bersatu padu dan tiada budaya integriti yang tinggi ialah orang Melayu bukan sahaja menjadi bodoh malah akan diperbodohkan. 

Menyentuh mengenai pembentukan jatidiri sebagai seorang Melayu, YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Seri Dr. Ibrahim Shah telah menyorot kembali peristiwa sewaktu beliau berusia tiga tahun apabila kegiatan komunis berleluasa dan mengancam keselamatan penduduk khususnya anggota keselamatan negara. Peristiwa hampir dibuang sekolah turut membina peribadi beliau sebagai pemimpin pelajar. 

Dua peristiwa itu telah sedikit sebanyak membina semangat berani dan jati diri beliau sebagai seorang Melayu dan pemimpin pelajar apabila hanya menyatakan kebenaran serta ikhlas dalam memperjuangkan hak anak bangsa.  

Menyorot kembali suasana pembelajaran di ITM, YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Seri Dr. Ibrahim Shah menyatakan bahawa beliau memasuki ITM menerusi program Diploma Pentadbiran Awam (DPA). Pada ketika itu, kebanyakan pelajar yang diterima masuk ke ITM ialah dengan kelayakan yang minima iaitu tiga kredit Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan lulus sesi temubual. 

Menurut beliau, walaupun penubuhan ITM ialah untuk membantu golongan Melayu dan Bumiputera menerusi syarat kelayakan yang minima, namun beliau bertegas agar syarat kelayakan ini disemak kembali berdasarkan kepada suasana pelajar hari ini yang ramai memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM. 

Beliau yakin bahawa martabat UiTM di kalangan masyarakat akan dipandang tinggi sekiranya syarat kelayakan kemasukan ke UiTM disetarakan sebagaimana universiti awam yang lain. 

Ketua Pustakawan UiTM Encik Jamalludin Hj. Sulaiman (dua dari kanan) bersama Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Seri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah (kiri).

Sebaik menamatkan pengajian di ITM, YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Seri Dr. Ibrahim Shah telah berkhidmat sebagai Pegawai Eksekutif di Bahagian Cukai Perjudian Perbendaharaan Malaysia. YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Seri Dr. Ibrahim Shah yang berusia sekitar 21 tahun pada masa itu, terlibat melakukan operasi pemantauan cukai perjudian. Pengalaman ditawar khidmat seks dan ugutan samseng di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur telah dialami beliau gara-gara prinsipnya yang menolak perlakuan rasuah. Beliau turut memperingatkan bahawa amalan rasuah boleh datang dalam pelbagai cara dan meminta agar sentiasa berwaspada mengenai tawaran seperti ini. 

Apabila membicarakan mengenai bangsa Melayu, YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Seri Dr. Ibrahim Shah mengingatkan bahawa setiap individu cintakan bangsanya. Bangsa Melayu telah maju sejak sekian lama dan ini terbukti apabila pedagang-pedang luar masuk berdagang di Melaka suatu masa dahulu. Malah menurut beliau, UiTM telah mempunyai program advance Diploma sejak tahun 1974. Tambah beliau, bangsa Melayu perlu bangkit mempertahankan bangsa dan bersikap adil terhadap semua bangsa. 

Mengimbas kembali pengalaman di Universiti OHIO yang dianggap beliau sebagai unik apabila pelbagai komuniti antarabangsa bercampur dan saling membantu tanpa mengira bangsa dalam suasana sebuah institusi pendidikan antarabangsa. 

Menceritakan kembali detik getir sewaktu diminta pulang ke tanah air bagi menangani demonstrasi pelajar ITM di Shah Alam pada tahun 1976 dan pada tahun 1978, di ITM cawangan Sabah, kedua-dua demonstrasi ini menyaksikan YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Seri Dr. Ibrahim Shah bertindak sebagai orang tengah antara pihak pelajar dan pengurusan ITM ketika itu. Beliau berpendapat, golongan pelajar ialah golongan yang baik, suara pelajar harus didengari, dihormati dan pentingnya menggunakan pendekatan psikologi bagi meredakan bahang demonstrasi ketika itu. 

Selepas demonstrasi pelajar pada tahun 1976,  ITM telah memulakan dua perkara yang tidak dilakukan oleh mana-mana universiti awam ketika itu iaitu menubuhkan kokurikulum KESATRIA dan mewajibkan pelajar mengambil matapelajaran agama Islam iaitu TITAS. YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Seri Dr. Ibrahim Shah pula telah dilantik sebagai Komandan Kesatria ITM yang pertama. Tujuan pelaksanaan dua perkara ini adalah untuk membina disiplin pelajar melalui latihan ketenteraan dan pengisian kerohanian.  

Berkongsi satu kisah yang mencuit hati dan masih dikenang hingga kini berlaku sewaktu YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Seri Dr. Ibrahim Shah menguruskan bantuan makanan sahur buat penduduk Kg. Abdullah Hukum yang baru mengalami kebakaran besar pada jam 3 pagi sekitar tahun 1977 dan 1978. Seorang anggota polis berpangkat Sarjan telah menasihati beliau agar mengutamakan keselamatan diri serta mengibaratkan perlakuan beliau seperti "lilin yang membakar diri". Ianya gara-gara beliau memandu di laluan yang tidak sepatutnya dilalui, semata-mata untuk memastikan bantuan makanan sahur buat penduduk Kg. Abdullah Hukum dapat dihantar dengan segera.

Pengalaman sewaktu bertugas di Sarawak bermula tahun 1989 turut menyimpan memori yang akan dikenang sepanjang hayatnya.  YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Seri Dr. Ibrahim Shah cukup berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan peluang pendidikan buat penduduk di Sabah dan Sarawak. 

Sewaktu berkhidmat sebagai Rektor di ITM cawangan Sarawak, berlaku insiden runtuhan beberapa tapak konkrit yang beratnya ratusan tan. Rentetan insiden ini, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud telah memanggil YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Seri Dr. Ibrahim Shah dan bermurah hati menganugerahkan tanah melebihi seribu ekar secara percuma untuk dijadikan kampus baharu dan lebih sempurna di Kota Samarahan. Malah, kerajaan Negeri Sarawak telah bersetuju membiayai kos pembinaan kampus baharu ini semata-mata untuk membawa peluang yang lebih luas kepada anak bangsa di Sarawak. 

Pengorbanan dan jasa baik Kerajaan Negeri Sarawak yang mengutamakan pendidikan anak bangsa terbalas dengan ramainya anak-anak tempatan menerajui sektor utama di negeri Sarawak sehingga memacu ekonomi Sarawak  sebagai sebuah negeri yang maju.  

Suasana muhibah sewaktu musim perayaan apabila pelbagai kaum di Sarawak berkumpul bersama-sama meraikannya turut dikagumi YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Seri Dr. Ibrahim Shah.

Mengulas lebih lanjut buku "Tersinggung Dalam Perjuangan", YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Seri Dr. Ibrahim Shah masih mengingati pengalaman beliau turun padang meninjau kemudahan infrastruktur pelajar sekitar tahun 2001 di beberapa kolej kediaman pelajar dan bilik-bilik kuliah. Tersinggung dengan suasana kemudahan yang kurang kondusif serta persepsi negatif masyarakat ketika itu, satu laporan telah diangkat di peringkat kerajaan dan akhirnya UiTM telah menerima bantuan tanah seluas seribu ekar bagi pembinaan kampus baharu di Puncak Alam. 

YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Seri Dr. Ibrahim Shah turut menerangkan dengan ringkas dan jelas tentang bermulanya idea penubuhan Fakulti Perubatan sekitar tahun 2001. Beliau menyifatkannya sebagai perjuangan yang bukan mudah namun tidak mustahil untuk dilakukan. Tindakan beliau itu terdorong daripada hasil kajian penyelidik pada masa itu yang mendapati kurangnya doktor di kalangan bangsa Melayu dan Bumiputera. 

Justeru, beliau bertekad untuk meningkatkan bilangan profesional perubatan di kalangan Melayu dan Bumiputera, dan seharusnya UiTM menggalas tanggungjawab ini demi kelangsungan bangsa. 

Cabaran yang dilalui amat getir kerana pada masa yang sama turut diuji dengan tahap kesihatan anak yang rendah akibat komplikasi demam denggi. Dengan keazaman yang amat tinggi dan ikhtiar yang bukan sedikit, Fakulti Perubatan telah secara rasminya dibuka pada November 2002 manakala empat tahun berikutnya, Fakulti Farmasi dirasmikan pada tahun 2006. 

Lebih membanggakan beliau apabila Hospital UiTM telah siap dibina di Kampus Puncak Alam pada tahun 2021,  sebagaimana kelulusan awal diberi terhadap pembinaan Kampus Shah Alam 2 (Puncak Alam) iaitu bersekali dengan pembinaan Hospital Puncak Alam. 

Banyak lagi peristiwa-peristiwa penting yang amat menarik dikongsikan oleh beliau seperti yang tercatat di dalam bab 10 iaitu Penubuhan Fakulti Perubatan Perjuangan Melalui "Darah, Keringat dan Air Mata". 

Sebelum Bicara Buku@PTAR berakhir, YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Seri Dr. Ibrahim Shah berkongsi sejarah yang menarik mengenai kewujudan arca seekor seladang dan seekor kerbau yang kini di tempatkan di Galeri UiTM (kini Galeri Seni Tuanku Nur Zahirah-Gesturz). Peristiwa di 'ragging' oleh pelajar senior dengan mengelilingi arca seladang atau kerbau masih utuh dalam memori beliau. 

YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Seri Dr. Ibrahim Shah mendedahkan peristiwa disebalik 'ragging' itu, pelajar senior tersebut telah berpesan agar tidak melupakan asal-usul sebagai seorang Melayu, tidak meninggi diri setelah berjaya kelak dan membantu keluarga, bangsa dan negara. 

Pesanan ini telah beliau jadikan azimat dan pedoman hingga ke hari ini. 




Share:

Thursday, 10 November 2022

PTAR raih Juara Bahagian sempena Anugerah Kualiti Naib Canselor 2022

 



Shah Alam, 10 November 2022 - PTAR telah berjaya meraih Juara Bahagian dalam Anugerah Kualiti Naib Canselor (AKNC) 2022 dan membawa pulang trofi, sijil anugerah dan wang kemenangan bernilai RM7 ribu ringgit.   
Anugerah disampaikan oleh Naib Canselor UiTM YBhg.Professor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor kepada Ketua Pustakawan UiTM YBrs. Encik Jamalludin bin Hj. Sulaiman dalam Majlis Kemuncak Bulan Inovasi & Kualiti UiTM 2022 bertempat di Dewan Berlian UiTM Cawangan Selangor. 
Pada tahun ini, PTAR telah memilih tema Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) sebagai bidang tumpuan dalam penyertaan AKNC 2022. 
Kemenangan ini telah menjadi berita gembira buat warga PTAR secara  keseluruhannya. Syabas PTAR. 

Share:

Monday, 7 November 2022

'Audit Bersih' di PTAR Kejuruteraan dan PTAR Sains & Teknologi


Shah Alam, 4 November 2022-PTAR Kejuruteraan (PKEJ) dan PTAR Sains & Teknologi (PTAR S&T) telah memperoleh pencapaian 'Audit Bersih' sempena Audit Surveillance (SV3) yang berlangsung selama sehari itu. 

Pencapaian ini amat membanggakan PTAR keseluruhannya, terutama bersempena tahun ke enam belas (16) pensijilan ISO9001 PTAR, pada tahun ini. 

Auditor Lyod's YBrs.Tuan Hj. Ramli bin Daud

Ketua Pustakawan UiTM, YBrs. Encik Jamalludin bin Hj. Sulaiman sewaktu Audit SV3 di PKEJ. 

Sesi audit luar ini dilaksanakan oleh Auditor Lyod's YBrs.Tuan Hj. Ramli bin Daud disamping sejumlah sepuluh (10) orang auditee termasuk Ketua PKEJ Puan Rizana binti Radwan dan Ketua PTAR S&T Puan Nor Hafizah Md Hanafiah. 

Bertempat di Bilik Mesyuarat PKEJ tepat jam 9:00 pagi, Ketua Pustakawan UiTM, YBrs. Encik Jamalludin bin Hj. Sulaiman telah berucap mengalu-alukan kehadiran YBrs.Tuan Hj. Ramli sebagai auditor sambil menyatakan komitmen berterusan PTAR terhadap pensijilan ISO9001:2015 ini. 

Dengan pencapaian ini, PTAR akan terus bersedia memacu pengurusan maklumat dalam era yang lebih mencabar ini. 

Pelan Audit SV3 PKEJ dan PTAR S&T
Share:

PTAR Shah Alam Mendekati Pusat Jaringan Alumni, UiTM

Shah Alam, 4 November 2022-Bertepatan dengan slogan "Library for All", PTAR Shah Alam telah mengambil inisiatif mendekati semua lapisan warga universiti termasuklah golongan Alumni UiTM.

Sesi perbincangan selama satu jam ini dianjurkan oleh PTAR Shah Alam bersempena program Bual Bicara PTAR sekitar Disember 2022 yang akan membincangkan topik-topik terpilih yang berkaitan dengan golongan ini. Menerusi perbincangan awal ini, maklumat-maklumat penting sewaktu program Bual Bicara nanti akan dapat dikenalpasti selain menjalin hubungan mesra bersama staf Pusat Jaringan Alumni UiTM. 

Dari kanan: Encik Muhammad Luthfi bin Mohaini, Puan Nita Zairena binti Moh, Prof. Madya Datin Sri Dr. Nazura binti Mohamed Sayuti, Puan Shahidatul Akhmam bin Rambeli dan Encik Mohd Khairul Idzwan bin Mohd Saad. 

PTAR Shah Alam diwakili oleh Ketua Bahagian Korporat & Kolaborasi PTAR, Puan Shahidatul Akhmam bin Rambeli dan Encik Mohd Khairul Idzwan bin Mohd Saad. 

Tiga orang wakil daripada Pusat Jaringan Alumni, UiTM diketuai oleh Pengarah Prof. Madya Datin Sri Dr. Nazura binti Mohamed Sayuti, Ketua Pusat Jaringan Alumni UiTM Encik Muhammad Luthfi bin Mohaini dan Penolong Pendaftar Kanan Puan Nita Zairena binti Moh. 

 
Pengarah Pusat Jaringan Alumni UiTM Prof. Madya Datin Sri Dr. Nazura binti Mohamed Sayuti (dua dari kanan).

Share:

Friday, 4 November 2022

Pertemuan Bersama Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM

 

Shah Alam, 4 November 2022 - Pertemuan bersama YBhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato' Seri Dr. Ibrahim Shah bin Abu Shah telah berlangsung selama satu jam bagi membincangkan pengisian program Bual Bicara Buku anjuran PTAR Shah Alam. 

Ketua Bahagian Koporat dan Kolaborasi PTAR, Puan Shahidatul Akhmam binti Rambeli dan Encik Mohd Khairul Idzwan bin Mohd Saad telah hadir bertemu Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM tersebut di Aras 7, Bangunan Canseleri bagi menyatakan hasrat mengundang beliau sebagai tetamu di dalam program Bual Bicara Buku pada 14 November 2022.  

Di samping itu, kehadiran wakil PTAR ini ingin memperoleh maklumat-maklumat penting yang perlu diketahui khususnya buku terbaharu nukilan beliau berjudul Tersinggung Dalam Perjuangan Sebuah Perjalanan Autobiografi

Buku "Tersinggung dalam Perjuangan Sebuah Perjalanan Autobiografi".

Share:

Kenaikan Pangkat Pembantu Pustakawan Kanan





Sekalung tahniah ditujukan kepada dua orang staf PTAR iaitu Encik Zulkarnain bin Ridzwan dan  Encik Mohd Azzry bin Zakaria atas kenaikan pangkat sebagai Pembantu Pustakawan Kanan (S22) berkuatkuasa 3 September 2022 dan 17 September 2022 yang lalu. 

Semoga kenaikan pangkat ini menjadi pemangkin semangat terhadap pengembangan kerjaya pada masa akan datang. 


Share:

Tazkirah 'Bacalah' Dan Tahlil Buat Mantan Staf PTAR

Shah Alam, 4 November 2022-PTAR Shah Alam telah menganjurkan program tazkirah bulanan berjudul 'Bacalah' bersekali dengan bacaan tahlil ringkas buat mantan staf PTAR iaitu Allahyarham Abdul Halim bin Mohd Isa.

Program ini telah dibimbing oleh YBrs. Ustaz Abdul Mutalib bin Jamil, Timbalan Pendaftar, UiTM Shah Alam selama satu jam dan dihadiri oleh kira-kira 40 orang staf PTAR Shah Alam.

Encik Mohd Adib bin Mohd Mohsin selaku pengacara majlis telah memulakan majlis tepat jam 9:10 pagi. Bacaan tahlil ringkas buat Allahyarham Abdul Halim bin Mohd Isa yang telah berkhidmat selama 42 tahun di PTAR, Shah Alam.

Staf PTAR sedang membaca tahlil di program tazkirah 'Bacalah'. 

YBrs. Ustaz Abdul Mutalib bin Jamil (kanan) bersama pengacara majlis Encik Mohd Adib bin Mohd Mohsin

Staf PTAR yang hadir ke program tazkirah 'Bacalah'.


Selesai bacaan tahlil pada jam 9.30 pagi, YBrs. Ustaz Abdul Mutalib telah menyampaikan ilmu berkenaan topik 'Bacalah'. Intipati perkongsian ilmu kali ini ialah mengenai kandungan 'Bacalah'. Para ulama telah menggariskan tiga perkara yang terkandung di dalam istilah 'Bacalah' iaitu How to Read (Bagaimana hendak membaca), How to Learn (Bagaimana hendak mempelajari isinya) dan How to Understand (Bagaimana hendak mengamalkannya). Beliau mengambil contoh tentang bagaimana masyarakat jahiliah di Mekah sewaktu zaman Nabi Muhammad SAW sebelum dan selepas kedatangan agama Islam. Kaum Muhajirin dan Ansar yang dahulunya berpecah belah akhirnya bersatu padu dan hidup harmoni setelah kaumnya mendalami agama Islam menerusi membaca. Tambah beliau, menerusi amalan membaca, sesuatu bangsa akan menjadi maju dan berkembang kerana mendalami pelbagai ilmu. Namun, yang lebih utama, individu itu mengenali tuhan yang menciptakanNYA sebagaimana ketika Nabi Muhammad SAW menerima wahyu yang pertama surah Al-'ALAQ di gua Hira' tatkala malaikat Jibril meminta Baginda SAW 'IQRA' iaitu BACALAH.

YBrs. Ustaz Abdul Mutalib turut saling mengingati tentang bagaimana sesuatu amalan manusia itu akan muflis di akhirat kelak sekiranya memutuskan talian silaturrahim sesama manusia. Bahkan, tiada sebarang ganjaran pahala yang akan diperoleh oleh seseorang itu sekiranya tidak menghubungkan kembali talian silaturrahim. Di zaman yang serba mencabar ini, punca putusnya talian silaturrahim amat mudah khususnya menerusi media-media sosial apabila maklumat tersebar dengan meluas dan boleh diakses dengan mudah.

Program tazkirah telah berakhir tepat jam 10:00 pagi dan hadirin yang hadir diundang ke Ruang Rehat PTAR Shah Alam untuk menikmati minum pagi. Program ini adalah terbuka kepada Staf PTAR Shah Alam dan menyumbang kepada jam latihan PTAR kategori UMUM. 

Share:

Wednesday, 19 October 2022

Kolaborasi PTAR Bersama Pusat Sumber SK Sijangkang Jaya

Dari kanan: Guru Besar SK Sijangkang Jaya Puan Nor Hamizah binti Abdul Hamid, Puan Asmah, Nur Syarah Inyirah, Ummu Humairah, Puan Siti Salwa, Puan Zuhaslinda dan Guru Pusat Sumber Puan Norhafizhah binti Hamzah 

Kolaborasi antara PTAR bersama Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya diperkasakan menerusi sumbangan bahan bacaan berjumlah 584 naskhah buku. Sumbangan ini dilakukan oleh PTAR hasil kolaborasi berterusan bermula lawatan tapak pada bulan Januari dan penyerahan peralatan Pusat Sumber pada bulan Julai, tahun 2022. 

PTAR diwakili oleh Puan Zuhaslinda binti Sulaiman, Puan Siti Salwa binti A. Rahman, Puan Asmah binti Sabtu, Encik Mohd Khairul Idzwan bin Mohd Saad dan Encik Muhammad Hazhar bin Abd Aziz. 

Ketibaan wakil PTAR seramai lima (5) orang telah disambut oleh guru Pusat Sumber, Puan Norhafizhah binti Hamzah, dengan amat mesra sekali. Setelah membawa naik kotak-kotak buku ke lokasi Pusat Sumber di aras 4, majlis penyerahan sumbangan ini telah dimulai dengan persembahan pengenalan Pusat Sumber SK Sijangkang Jaya tepat jam 10:30 pagi. Seramai tiga orang Pengawas Pusat Sumber Sekolah; Nur Irdina Hasya binti mohd Azlan, Nur Syarah Insyirah binti Amiruddin dan Ummu Humairah binti Nurul Khatimi, telah secara bergilir-gilir mempersembahkan kemudahan, koleksi dan perkhidmatan yang disediakan oleh Pusat Sumber SK Sijangkang Jaya. 

Persembahan pengenalan oleh pelajar tahun lima ini diteruskan dengan wakil PTAR dibawa melawat ke ruang Studio dan ruang Tayangan. Tiga orang wakil PTAR telah terpilih secara bergilir-gilir, ditemubual oleh Pengawas Pusat Sumber tersebut. Sesi temubual telah diadakan di Studio dan dipancarkan secara langsung di ruang Tayangan yang turut disertai oleh Guru Besar SK Sijangkang Jaya, Puan Nor Hamizah binti Abdul Hamid. Rakaman temubual ini boleh dilayari di pautan berikut:

1. Sesi Wawancara 1 Bersama Puan Siti Salwa

2. Sesi Wawancara 2 Bersama Puan Zuhaslinda

3. Sesi Wawancara 3 Bersama Encik Khairul Idzwan 

Selesai sesi temubual, majlis diteruskan di ruang Pusat Sumber apabila Guru Pusat Sumber telah  mengundang Guru Besar SK Sijangkang Jaya menyampaikan ucapan penghargaan sekolah terhadap PTAR. Dalam ucapannya, Puan Nor Hamizah merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan buku yang akan dimanfaatkan oleh kira-kira 800 orang pelajar SK Sijangkang Jaya. Beliau turut berharap agar kolaborasi ini diteruskan pada masa hadapan terutama perkongsian kepakaran pengurusan perpustakaan daripada PTAR. 

Majlis penyerahan sumbangan ini diakhiri dengan penyerahan surat sumbangan oleh PTAR yang diserahkan oleh Puan Siti Salwa binti Ab Rahman  kepada Puan Nor Hamizah. Majlis telah berakhir kira-kira jam 12:00 tengahari.

Dari kanan: Puan Asmah, Nur Syarah Inyirah, Ummu Humairah, Nur Irdina Hasya, Puan Zuhaslinda dan Puan Siti Salwa (belakang) 

                        Puan Siti Salwa ditemubual oleh Pengawas Pusat Sumber, Nur Irdina Hasya

                     Pengawas Pusat Sumber Sekolah memberi penerangan tentang ruang Tayangan 

Puan Siti Salwa (kanan) menyerahkan surat sumbangan buku  kepada Guru Besar SK Sijangkang Jaya

Guru Besar SK Sijangkang Jaya (kiri) menyerahkan sijil penghargaan kepada Puan Siti Salwa



 


Share:

Labels

Total Pageviews